Bilik tidurnya
berhawa dingin, ada tilam
empuk dan bantal
gebu. Gebar mulusnya berbulu
hangat, menyelimuti tubuh dari
atas ke bawah. Biliknya cukup
selesa dihiasi perabot
mewah. Tidak semena-mena dia
membuka mata dalam
kegelapan subuh, berpijak ke
lantai yang diliputi
permaidani tebal. Perlahan dia
berjalan ke tandas
mahu membuang air. Setelah
selesai menunaikan hajat, dia
kembali ke katil. Sekilas matanya
memandang jam di dinding.
“Eh, sudah masuk
waktu Subuh! Tapi, mata masih
mengantuk. Bagaimana ni?”
hatinya bermonolog.
“Jika aku
tidak solat sekarang, pasti aku
akan terlepas waktu
solat dan perlu
qada. Jika sengaja melepaskan
waktu solat, ia satu
dosa besar.” Imannya memberi
hujah. Perlahan, hatinya
diresap kesejukan penghawa
dingin. Tangannya menarik gebar
empuk dan membungkus
tubuh. Tanpa menjawab hujah
dari imannya, tubuhnya langsung
rebah di katil
empuk.
“Bangun! Jangan tidur
lagi! Solat dahulu!” Imannya menjerit
minta didirikan solat. Namun
seluruh jeritan itu
ditelan dalam dua
kelopak mata yang
terkatup rapat.
Tiba-tiba terasa
wajahnya berdebu dan
berhabuk pijar. Dia terbatuk-batuk sambil
menggosok matanya. Sebuah sahara
luas terbentang di
depan mata, mentari terik
di atas kepala, peluh
meracik di leliang
roma. Mana rumah dan
katil mewahnya? Kenapa cuaca
begitu panas sekali
di sini? Di mana
dia? Di Makkah? Di Madinah? Dia
bangun dan mencari
orang sekelilingnya.
“Assalamualaikum,” sapa satu
suara dari belakang, kelihatan seorang
lelaki berwajah putih
persis purnama penuh
sedang menunggang unta.
“Wa’alaikumussalam, di mana
rumahku? Siapakah kamu?”
Segera dia bertanya
soalan atas keanehan
yang menimpa dirinya. Lelaki itu
menghulurkan tangan tanda
ingin menariknya ke
atas unta. “Wahai Sofwan, mari
naik di belakang
saya. Saya akan menghantar
kamu ke rumah
sekarang,” ujarnya. Sofwan
menaiki unta dan
duduk di belakang
lelaki berwajah bulan. Terasa
pijar menyengat kulit
ubunnya sambil segala
persoalan terbelenggu di
benaknya. Mereka sampai di
sebuah rumah kecil, berkotak empat
segi dan sangat
usang.
“Sudah sampai, turunlah dan
masuklah ke dalam,” beritahu lelaki
purnama itu. Sofwan turun
dan masuk. Dia melihat
sebuah ruang kecil
di dalam rumah
yang membuatkan dadanya
sempit. Lantai tanpa permaidani, tilam tanpa
katil, bilik tanpa penghawa
dingin. Ruang tamunya kosong, hanya
diisi dengan sehelai
sejadah kusam.
“Mustahil! Saya tidak
akan dapat bertahan
di rumah ini
walau sehari,” ujar Sofwan
kepada lelaki itu.
“Tahukah kamu
bagaimana kehidupan Rasulullah? Tilamnya senipis
lipatan kain di
baju kamu itu, rumahnya
tidak berhiaskan perabot
mewah. Bagaimana seorang Nabi
boleh hidup dengan
begitu naïf, sedangkan kamu
yang mengaku umatnya
tidak sanggup sehari?” Lelaki itu tersenyum memandangnya.
“Dia
Nabi, aku ini manusia
biasa. Tidak adil jika
disamakan antara kami. Bagikan
dua darjat,” balasnya dengan
nada tidak puas
hati.
“Nabi juga
manusia, ada nafsu dan
keinginan. Dia bukan malaikat. Dia
punya cita rasa
dan perasaan. Jika kamu
mahukan keselesaan, apakah Nabi
tidak pernah memikirkan
seperti kamu?” ujar lelaki
itu dengan lembut.
“Sabarnya tinggi! Imannya kuat! Jiwanya
ditarbiyah Allah. Dia berbeza
denganku.”
“Berbeza? Beerti kamu
bukan dari umatnya?”
“Eh! Aku ini
umatnya. Maksud aku…”
“Kamu tidak
cukup sabar, tidak cukup
kemahuan untuk mendapatkan
kehidupan abadi. Kamu tidak
mengerti bahawa kehidupanmu
sekarang cukup senang, kamu
terbuai di dalamnya
sehingga meninggalkan mujahadah. Aku pasti, Rasulmu akan
dukacita melihat kamu
mencuaikan solat Subuh
hanya kerana dipeluk
sehelai gebar empuk! Tanpa
ada sebab lain
yang menghalangmu!”
“Sofwan, tahukah kamu? Bahawa
kuburmu lebih sempit
dari rumah itu?” tegur
lelaki itu sambil
menunjukkan ke arah
rumah usang.
Sofwan terkesima. Soalan itu
bagai menghempap emosinya
hingga hancur terburai. Hatinya sayu, jiwanya
syahdu, betapa jauh jiwanya
tenggelam dalam kenikmatan
dunia sehingga menjadikannya
begitu naïf dalam
bermujahadah. Sabarnya
begitu lemah, imannya begitu
tipis, tidak mampu bertahan
jika dirempuh mehnah.
“Sabarlah Sofwan, sabarlah sedikit
untuk mendapatkan syurga
yang berkekalan. Sabarlah berbuat
taat di dunia, kerana
akan dibalasi Allah
dengan nikmat yang
tidak berkesudahan. Jangan sampai
sehelai gebar empuk
itu, menyebabkan engkau terlepas
syurga Allah yang
Maha Kaya! Bangunlah bersolat!”
Celik! Kedua-dua mata
Sofwan terbuka luas. Dia
bermimpi! Dia memandang jam. Hari
belum cerah, waktu solat
Subuh belum berakhir. Dia
berlari ke tandas
mengambil wudhuk. Sungguh Allah
Maha Kaya. Dia berdiri
dan bertakbir “Allahu
Akbar!” demi mencari
syurga yang abadi, dia
berjanji akan sabar
dalam mujahadah dan
istiqamah.
(USTAZ A UBAIDILLAH
ALIAS, GEN-Q ISU NO-7)
No comments:
Post a Comment