Friday 15 February 2013

Jujur Itu Berani~


Pagi  masih  bening, awan  kumulus  berbalam  tebal. Warung  Pak  Kamel  sudah  ramai  pelanggan. Ketika  Kauthar  tiba, Lebai  Syakir  sudah  tercungap  di  situ. Belum  sempat  dia  memusingkan  tubuh, lebai  itu  sudah  memanggil  namanya  sambil  melambai.

            “Ustaz  Kauthar! Ke  sini, saya  belanja!” Kauthar  bungkam, dia  melangkah  berat  ke  warung  Pak  Kamel. Punggung  dilabuhkan  seraya  barang  yang  dijinjit  dari  pasar  diletakkan  bersebelahan. Lebai  Syakir  tersengih  mempamerkan  gigi  kuningnya.

            “Selalu  sangat  ustaz  ke  pasar  beli  barang, isteri  tak  pergi? Atau  ustaz  takut  bini?” Lebai  mengusik, seperti  minggu  yang  sudah. Kauthar  memandang  sekilas  wajah  Lebai  Syakir  sambil  memesan  secawan  the  dan  roti  canai. Serban  Lebai  terlilit  besar, bulat  seperti  tayar.

            Agama  mengajar  Kauthar  untuk  telus. Dia  perlu  ikhlas  dalam  berbicara, jangan  mahu  tunjuk  alim  hingga  sanggup  mereka  hujah  dan  fatwa. Pasti  fitnah  akan  melecak. Bahkan  fitnah  dalam  agama  lebih  berbahaya  daripada  fitnah  dalam  perkara  dunia. Ia  boleh  menyebabkan  amalan  terseleweng, apatah  lagi  jika  boleh  menyebabkan  akidah  tersesat. Punah!

            “Sekali  sekala  orang  minta  ke  pasar, apa  salahnya  tolong,” Kauthar  jawab  acuh  tak  acuh.

            “Sekali  sekala  tak  apalah, tapi  saya  Nampak  selalu  sangat. Ustaz  nak  tahu, selama  saya  beristeri  dua, bini  saya  tak  pernah  suruh  belikan  barang-barang  dapur. Lagipun  pasar  basah  dekat  sangat. Mereka  boleh  pergi  sendiri. Ustaz  pun  tahu  saya  banyak  kerja, kan. Kalau  ada  apa-apa, saya  suruh  mereka  buat  sendiri,” lepas  satu, satu  lagi  Lebai  Syakir  mencucuk.

            “Saya  hormat  isteri  saya  Pak  Lebai, saya  kasihankan  dia  yang  banyak  buat  kerja  di  rumah  sendirian  waktu  saya  keluar  bekerja.”

            “Ustaz, perlu  lagi  ke  kita  orang  lelaki  buat  kerja  macam  ni? Kalau  begitu, mereka  nak  buat  apa? Mereka   ada, buat  apa  kita  susah-susah. Jangan  jadi  dayus  sampai  mereka  berani  suruh-suruh. Dalam  berumah  tangga  ni, orang  lelaki  kena  berkuasa  sekat  suara  perempuan. Jangan  sampai  mereka  lebih  daripada  kita,” Lebai  Syakir  menyeringai. Serasa  dia  Berjaya  mengalahkan  Kauthar  di  depan  pelanggan  warung  Pak  Kamel  hari  ini.

            Teh  wangi  yang  diteguk  Kauthar  tiba-tiba  terasa  kelat. Dia  tidak  menyangka  Lebai  sanggup  berkata  begitu. Dia  memujuk  diri  sendiri  sambil  mengatur  kalam, dia  tidak  mahu  bermusuh  namun  kebenaran  perlu  dijelaskan. Dia  perlu  berani  untuk  berlaku  jujur.

            “Pak  Lebai, saya  pernah  baca  buku-buku  karangan  Abdullah  Nasih  Ulwan  dalam  pembinaan  keluarga  Muslim. Saya  juga  pernah  membaca  buku  Syeikh  Ramadhan  al-Buthi  dalam  menceritakan  kedudukan  wanita. Setahu  saya, wanita  setaraf  dengan  lelaki  dalam  keluarga. Mereka  berhak  atas  kita  dan  kita  berhak  atas  mereka. Setahu  saya, tugas  memasak, mengemas  dan  membasuh  semuanya  tugas  lelaki. Cuma  ramai  orang  lelaki  yang  tak  tahu  tugas  sendiri  sampai  menyusahkan  isteri,” Kauthar  meneguk  the  yang  masih  berjelaga. Aroma  teh  wangi  menyerap  ke  seluruh  esofagusnya.

            Lebai  tertegun  setagal  apabila  Kauthar  menyebut  nama  kitab  dan  ulama’  Timur  Tengah. Dia  kisar  duduk. Ini  bukan  kali  pertama  Lebai  menjadi  gundah, malah  sudah  berkali-kali. Setiap  kali  berdepan  dengan  Kauthar, dia  asyik  kecundang. Dia  yang  buka  topik, akhirnya  dia  juga  yang  tercekik. Tetapi  Lebai  tidak  mahu  serik  selagi  Kauthar  tidak  kalah  padanya.

            “Ustaz  memang  pandai. Kahwin  dua  memang  banyak  tanggungjawab. Saya  buat  tu  kerana  sunnah, dapat  pahala. Lagi  banyak  tanggungjawab, lagi  banyak  pahalanya. Ustaz  tak  mahu  pahala  lebih  ke? Tak  nak  kahwin  dua?” Lebai  berasa  selamat  kerana  dapat  menepis  dan  melibas  semula.

            “Semua  orang  tahu  kahwin  itu  sunnah, dapat  pahala. Tapi  sunnah  yang  lain  tak  buat-buat  juga. Malah  ramai  guna  alasan  sunnah  untuk  berpoligami, sedangkan  tanggungjawab  dan  kesedaran  tak  ada. Yang  tahu  pun, kadang-kadang  tak  buat  juga.”

            “Lebai, Nabi  juga  berpoligami, tapi  banyak  urusan  di  rumah, Baginda  lakukan  sendiri. Contohnya  menjahit  pakaian  dan  menolong  isteri  di  rumah. Malah, Nabi  nyatakan  sebaik-baik  dalam  kalangan  umatku  adalah  elok  pergaulan  dengan  isteri-isterinya. Beerti, menolong  isteri  dan  meringankan  beban  mereka  adalah  satu  sunnah,” Lebai  terdiam, dia  tewas  sekali  lagi.

            Kauthar  bangkit  daripada  duduk  sejurus  menghabiskan  sarapannya, dia  berterima  kasih  kepada  Lebai  Syakir  dan  beredar. Dia  tidak  mahu  memusuhi  sesiapa, dia  cuma  berkata  jujur  dengan  apa  yang  dia  yakini. Itu  sahaja.

            Seminggu  kemudian  Kauthar  ke  pasar  membeli  barangan  dapur. Ketika  membelek-belek  sayur  segar, dia  disapa.

            “Assalamualaikum  Ustaz  Kauthar,” Kauthar  berkalih. Melirik  kepada  empunya  suara.

            “Eh, Lebai  Syakir!” Mata  Kauthar  terbuntang  luas.

            Lebai  Syakir  tersenyum, “Terima  kasih  kerana  berkata  jujur  dalam  perbincangan  tempoh  hari, terima  kasih  kerana  berani  menegur  saya. Dengan  izin  Allah, saya  sudah  merubah  layanan  saya  terhadap  isteri-isteri. Semoga  Allah  merahmati  ustaz.”

            “Alhamdulillah, semoga  Allah  merahmati  kita  semua,” Kauthar  tersenyum.

(USTAZ  A  UBAIDILLAH  ALIAS, GEN-Q  ISU  NO-10)

Dipeluk Sehelai Gebar Empuk~


Bilik  tidurnya  berhawa  dingin, ada  tilam  empuk  dan  bantal  gebu. Gebar  mulusnya  berbulu  hangat, menyelimuti  tubuh  dari  atas  ke  bawah. Biliknya  cukup  selesa  dihiasi  perabot  mewah. Tidak  semena-mena  dia  membuka  mata  dalam  kegelapan  subuh, berpijak  ke  lantai  yang  diliputi  permaidani  tebal. Perlahan  dia  berjalan  ke  tandas  mahu  membuang  air. Setelah  selesai  menunaikan  hajat, dia  kembali  ke  katil. Sekilas  matanya  memandang  jam  di  dinding.

            “Eh, sudah  masuk  waktu  Subuh! Tapi, mata  masih  mengantuk. Bagaimana  ni?” hatinya  bermonolog.

            “Jika  aku  tidak  solat  sekarang, pasti  aku  akan  terlepas  waktu  solat  dan  perlu  qada. Jika  sengaja   melepaskan  waktu  solat, ia  satu  dosa  besar.” Imannya  memberi  hujah. Perlahan, hatinya  diresap  kesejukan  penghawa  dingin. Tangannya  menarik  gebar  empuk  dan  membungkus  tubuh. Tanpa  menjawab  hujah  dari  imannya, tubuhnya  langsung  rebah  di  katil  empuk.

            “Bangun! Jangan  tidur  lagi! Solat  dahulu!” Imannya  menjerit  minta  didirikan  solat. Namun  seluruh  jeritan  itu  ditelan  dalam  dua  kelopak  mata  yang  terkatup  rapat.

            Tiba-tiba  terasa  wajahnya  berdebu  dan  berhabuk  pijar. Dia  terbatuk-batuk  sambil  menggosok  matanya. Sebuah  sahara  luas  terbentang  di  depan  mata, mentari  terik  di  atas  kepala, peluh  meracik  di  leliang  roma. Mana  rumah  dan  katil  mewahnya? Kenapa  cuaca  begitu  panas  sekali  di  sini? Di  mana  dia? Di  Makkah? Di  Madinah? Dia  bangun  dan  mencari  orang  sekelilingnya.

            “Assalamualaikum,” sapa  satu  suara  dari  belakang, kelihatan  seorang  lelaki  berwajah  putih  persis  purnama  penuh  sedang  menunggang  unta.

            “Wa’alaikumussalam, di  mana  rumahku? Siapakah  kamu?” Segera  dia  bertanya  soalan  atas  keanehan  yang  menimpa  dirinya. Lelaki  itu  menghulurkan  tangan  tanda  ingin  menariknya  ke  atas  unta. “Wahai  Sofwan, mari  naik  di  belakang  saya. Saya  akan  menghantar  kamu  ke  rumah  sekarang,” ujarnya. Sofwan  menaiki  unta  dan  duduk  di  belakang  lelaki  berwajah  bulan. Terasa  pijar  menyengat  kulit  ubunnya  sambil  segala  persoalan  terbelenggu  di  benaknya. Mereka  sampai  di  sebuah  rumah  kecil, berkotak  empat  segi  dan  sangat  usang.

            “Sudah  sampai, turunlah  dan  masuklah  ke  dalam,” beritahu  lelaki  purnama  itu. Sofwan  turun  dan  masuk. Dia  melihat  sebuah  ruang  kecil  di  dalam  rumah  yang  membuatkan  dadanya  sempit. Lantai  tanpa  permaidani, tilam  tanpa  katil, bilik  tanpa  penghawa  dingin. Ruang  tamunya  kosong, hanya  diisi  dengan  sehelai  sejadah  kusam.

            “Mustahil! Saya  tidak  akan  dapat  bertahan  di  rumah  ini  walau  sehari,” ujar  Sofwan  kepada  lelaki  itu.

            “Tahukah  kamu  bagaimana  kehidupan  Rasulullah? Tilamnya  senipis  lipatan  kain  di  baju  kamu  itu, rumahnya  tidak  berhiaskan  perabot  mewah. Bagaimana  seorang  Nabi  boleh  hidup  dengan  begitu  naïf, sedangkan  kamu  yang  mengaku  umatnya  tidak  sanggup  sehari?” Lelaki  itu  tersenyum  memandangnya.

            “Dia  Nabi, aku  ini  manusia  biasa. Tidak  adil  jika  disamakan  antara  kami. Bagikan  dua  darjat,” balasnya  dengan  nada  tidak  puas  hati.

            “Nabi  juga  manusia, ada  nafsu  dan  keinginan. Dia  bukan  malaikat. Dia  punya  cita  rasa  dan  perasaan. Jika  kamu  mahukan  keselesaan, apakah  Nabi  tidak  pernah  memikirkan  seperti  kamu?” ujar  lelaki  itu  dengan  lembut.

            “Sabarnya  tinggi! Imannya  kuat! Jiwanya  ditarbiyah  Allah. Dia  berbeza  denganku.”

            “Berbeza? Beerti  kamu  bukan  dari  umatnya?”

            “Eh! Aku  ini  umatnya. Maksud  aku…”

            “Kamu  tidak  cukup  sabar, tidak  cukup  kemahuan  untuk  mendapatkan  kehidupan  abadi. Kamu  tidak  mengerti  bahawa  kehidupanmu  sekarang  cukup  senang, kamu  terbuai  di  dalamnya  sehingga  meninggalkan  mujahadah. Aku  pasti, Rasulmu  akan  dukacita  melihat  kamu  mencuaikan  solat  Subuh  hanya  kerana  dipeluk  sehelai  gebar  empuk! Tanpa  ada  sebab  lain  yang  menghalangmu!”

            “Sofwan, tahukah  kamu? Bahawa  kuburmu  lebih  sempit  dari  rumah  itu?” tegur  lelaki  itu  sambil  menunjukkan  ke  arah  rumah  usang.

            Sofwan  terkesima. Soalan  itu  bagai  menghempap  emosinya  hingga  hancur  terburai. Hatinya  sayu, jiwanya  syahdu, betapa  jauh  jiwanya  tenggelam  dalam  kenikmatan  dunia  sehingga  menjadikannya  begitu  naïf  dalam  bermujahadah. Sabarnya  begitu  lemah, imannya  begitu  tipis, tidak  mampu  bertahan  jika  dirempuh  mehnah.

            “Sabarlah  Sofwan, sabarlah  sedikit  untuk  mendapatkan  syurga  yang  berkekalan. Sabarlah  berbuat  taat  di  dunia, kerana  akan  dibalasi  Allah  dengan  nikmat  yang  tidak  berkesudahan. Jangan  sampai  sehelai  gebar  empuk  itu, menyebabkan  engkau  terlepas  syurga  Allah  yang  Maha  Kaya! Bangunlah  bersolat!”

            Celik! Kedua-dua  mata  Sofwan  terbuka  luas. Dia  bermimpi! Dia  memandang  jam. Hari  belum  cerah, waktu  solat  Subuh  belum  berakhir. Dia  berlari  ke  tandas  mengambil  wudhuk. Sungguh  Allah  Maha  Kaya. Dia  berdiri  dan  bertakbir  “Allahu  Akbar!”  demi  mencari  syurga  yang  abadi, dia  berjanji  akan  sabar  dalam  mujahadah  dan  istiqamah.

(USTAZ  A  UBAIDILLAH  ALIAS, GEN-Q  ISU  NO-7)

Ohh! Kenangan Reunion Pemburu Ilmu~~

Para  peserta  Reunion  Pemburu  Ilmu  bergambar  mesra  bersama  Ustaz  Ahmad.



Oh  masa, cepatnya  berlalu. Tanpa  disedari  sudah  hampir  2  minggu  Reunion  Pemburu  Ilmu  berlalu. Masya Allah, serasa  bagaikan  semalam  bersama  dengan  sahabat-sahabat, saya  sangat  merindui  kalian. Hehehe, saja  nak  meluahkan  perasaan  sikit. Emm, balik  sahaja  dari  universiti  tercinta  pada  18hb/1, perkara  pertama  yang  difikirkan  difikiran  ialah  reunion  la. Ish, x payahlah  guna  bahasa  sastera  sangat. Santai  aje  ye. Hehe. Dalam  masa  yang  tidaklah  lama  sebenarnya, dlam  12  hari  saje  lagi  nak  sampai  ke  1hb/2. Tapi  terasa  lamanya  masa  berlalu  disebabkan  hati  ni dah  terlalu  tak  sabar  nak  jumpa  sahabat.

Minit  demi  minit, saat  demi  saat, akhirnya  sampai  juga  tanggal   keramat, 1hb/2. Hehe, keramat  la  kot. Pada  jam  3.40pm, perjalanan  dari  Kg  Gajah  ke  Ipoh  dimulakan. Ini  satu  hal  lagi, rasanya  masa  ni kalau  x  silap  naik  sampai  100km/h  or  lebih, tapi  rasa  lambat  sangatlah  nak  sampai. Zahid  dah  mesej, “Dah  sampai  mana?”. Saya  terfikir, Zahid  ni  mesti  risaukan  saya. Hehe, memey  lah, dia  kan  pengarah  program, mestilah  risau  ahli  pesertanya  x  sampai  lagi. Perjalanan  yang  mengambil  masa  hampir  1 jam  30  minit  menuju  ke  Masjid  Sungai  Rokam. Gembira  bukan  main. Jumpa  sahabat  pada  ketika  itu, terus  saya  dakap  erat.

Masya  Allah, sahabat  dunia  akhirat. Soalan  yang  terpancul  daripada  mulut  salah  seorang  sahabat  saya  ialah, “macam  mana  iman  kamu? Ok  ke?” saya  menjawab, “Alhamdulillah, in  shaa Allah  baik-baik  saja.” Saya  bangga  dengan  sahabat  ni, seorang  petah  berkata  dan  berwibawa. Ketika  program  juga  beliau  menjalankan  amanah  dengan  baik  dan  cemerlang. Siapa  orangnya? Mestik  korang  kenal  punya, beliau  antara  yang  banyak  mengambil  alih  aktiviti  di  sana. Panjang  pulak  sembangnya, baru  hari  1st, dah  panjang  berjela, hahaha. Panjang  sangat  karang  orang  jemu  pulak  nak  baca. Oklah, saya  pendekkan.

Pada  hari  kedua, slot  tazkirah  dhuha  disampaikan  oleh  Ustaz  Zubaidi. Menarik. Umur  yang  panjang, tapi  dihabiskan  untuk  taat  kepada  Allah. Kata  Ustaz  Azhar  Idrus, inilah  orang  yang  beruntung. Kemudian, tazkirah  dhuha  diteruskan  lagi  oleh  Ustaz  Hafez  Sabri. Tabarakallah, pengisiannya  juga  cukup  hebat. Walaupun  tutur  katanya  penuh  dengan  kelembutan  dan  berhikmah, tapi  telah  membuatkan  saya  penuh  bersemangat  pada  ketika  itu  untuk  berdakwah  kepada  manusia, walaupun  rasa  diri  ini  tidaklah  sehebat  mana, ilmu  pun  tidaklah  seberapa  kalau  hendak  dibandingkan  dengan  sahabat-sahabat  yang  datang  pada  ketika  itu. Rasanya  kalau  hendak  dibandingkan  dengan  saya, saya  ni  lah  yang  paling  lemah  iman, ilmu  dan  amal. Allahu  Akbar, hinanya  rasa. Pengarah  program  memberi  kepercayaan  kepada  saya  untuk  mempengerusikan  majlis  pada  hari  itu. Antara  apa  yang  saya  kupaskan  ialah, isi  penting  jer  la  ye:

“Wahai  orang  beriman, jika  kamu  menjaga  agama  Allah, nescaya  Allah  akan  menjaga  kamu  dan  meneguhkan  pendirian  kamu.” (Surah  Muhammad: ayat  7)

“Pada  hari  ini, sedikit  sekali  mereka  yang  faham  tentang  agama. Dalam  sedikit  itu, sedikit  lagi  mereka  yang  faham  agama  dan  mengamalkan  agama. Dalam  sedikit  itu, sedikit  lagi  mereka  yang  faham  agama, mengamalkan  agama  dan  ikhlas  melakukannya. Dalam  sedikit  dan  teramat-amat  sedikit, ialah  mereka  yang  faham  agama, mengamalkan  agama, ikhlas  melakukannya  dan  dapat  menggapai  mardhatillah." (Kata-kata  indah daripada  Asy-Syahid  Imam  Hasan  Al-Banna)

Untuk  sebelah  petangnya, aktiviti  yang   bagi  saya  cukup  mencabar  iaitu  Street  Dakwah. Inilah  1st  time  saya  berdakwah  kepada  orang  yang  tidak  saya  kenal. Pada  awalnya  persepsi  saya  mungkin  masyarakat  di  luar  akan  menganggap  kami  ni  nak  mintak  derma  atau  sebagainya. Tapi  Alhamdulillah, semua  orang  yang  saya  ketemu  pada  hari  itu  tidak  menunjukkan  wajah  bosan. Mereka  juga  sudi  meluangkan  masa  untuk  mendengar  sedikit  apa  yang  saya  katakan. Walaupun  kadang2  tu  gagap  jugak  lah  rasa  lidah, tapi  itulah  yang  dinamakan  pengalaman. Lama  kelamaan  in  shaa  Allah  lidah  akan  fasih  jika  selalu  dipraktikkan. Moga  mereka  semua  diredhai  Allah  selalu.

Aktiviti  diteruskan  lagi  selepas  asar  yang  dikendalikan  oleh  bro  kita, Nasa’i. katanya  kena  pindah  sebab  pakcik  situ  dah  x  ske  kat  kita. Rasanya  perangai  dah  habis  molek  dah. Hehe. Musa  kata, “tipunya  tu,” hehe, lawak  aje. Berpindahlah, dengan  bawak  begnya. Saya  dah  la  bawak  beg  balik  kg  yang  gedabak  besa  tu. Abu  Zar  relax  jer  dengan  beg  kecik. Rasanya  time  tu  beg  sayalah  yang  besar  sekali. Hehe. Kami  disuruh  mendirikan  panji, kemudian  baca  Al-Mathurat  membelakangkan  panji  yang  sudah  dipacakkan  di  belakang  kami. Habis  sahaja  baca, panjinya  udah  x  ada. Sapa  pulak  yang  curi  ni? Apa  lagi, kena  carilah. Berbekalkan  kain  palaikat  bersama  tudung  muslimah, kami  ikatkan  ia  menjadi  satu  bulatan  besar. Jadi  kami  jadikan  ia  sebagai  perisaulah  kononnya  sebab  kitaorang  x  boleh  menyerang. Cuma  boleh  pertahankan  diri  aje. Berjalan  aje  di  atas  jalan, semua  orang  tengok. Sampai  ada  kereta  yang  berhenti  nak  tengok  kiteorang. Hadoi, malunya.

Sesampai  sahaja  di  sebuah  kawasan  lapang, kami  diserang. Tutup  muka  dengan  kain  palaikat. Rasanya  yang  paling  agresif  menyerang  kami  pada  ketika  itu  geng  ajk  muslimahlah. Dari  jauh  kejar. Muslimin  pun  baling  dari  jauh. AJK  muslimah  tu  dtg  dekat, pastu  terus  serang. Ishh, takut  betoi  rasanya  time  tu. Last2, kenanya  jugak  kat  badan  ni. Ingatkan  dah  habis  lindung  dah  badan  ni. Hehe.

Pada  waktu  malam, diadakan  satu  pertandingan  membuat  jambatan  menggunakan  surat  khabar. Berkumpulan  dengan  mereka  yang  tidak  saya  kenali. Yang  kenalnya  Cuma  Nizam  dengan  Fateen  aje. Xpalah,  yang  penting  boleh  bekerjasama. Hasilnya, teng3. Jadinya  jambatan  yang  kami  namakan  dengan  JAMBATAN  ILMU. Nama  memang  x  relevan  langsung, dah  itu  aje  yang  ade  dalam  kotak  ingatan  ni. Balun  saje  lah. Last2  kalau  jugak, sebabnya  kami  jambatan  tu  dah  terpele’ot. X  adil  betul  jurinya, bukan  nak  betulkan  kaki  dia. Hehe, maaf  na  Shahril  dan  Mukhris.

Pada  hari  ketiga, giliran  Ustaz  Ahmad  pula  memberi  tazkirah  dhuha. Usai  sahaja  tazkirah, cabutan  bertuah  pula. Ingatkan  x  dapat, sebab  selalunya  kalau  cabutan  bertuah  sahaja, memang  nama  xkan  naik. Tiba2  naik  pulak  pagi  tu. Dapatlah  bekas  cawan  agaknya  dari  Sarawak. Jauhnya  import. Terima  kasih  kepada  sahabat  dari  Sarawak  yang  bagi  cawan  ni. Hehe.

Sampai  sahaja  tengahari, kesimpulan  tentang  seluruh  aktiviti  diteruskan  oleh  semua  peserta. Banyak  antaranya  nasihat  daripada  sahabat2, yang  tidak  kurang  luntur  imannya. Memberi  nasihat  yang  sudah  pastinya  berbekas  di  hati  yang  tidak  berapa  nak  bersih  ni. Antaranya  ada  yang  kata  teruskan  berdakwah, dan  lain2. Ada  cadangan  pula  kata  adakan  reunion  ni  setiap  tahun. Lamanya  nak  tanggu  tahun  depan. Bleh  x  kalau  adakan  setiap  sem? Hehe.

Dikemuncak  aktiviti, tayangan  video  pula. Lawak  pulak  bila  tengok  semuanya. Yang  pasti  saya  terhibur  dengan  tayangan  yang  hebat  tu. Tahniah  kepada  Abg  Hasnul, Nadirah  dan  Aiman  Hazim  walaupun  dia  x  ada  pada  hari  tu. Nanti  upload  lagi  ya  video  reunion. Rasanya  dah  x  terkira  banyak  kali  dok  tengok  video  ni. Tengok  aje  video  Perang  Reunion, mulalah  gelak  sorang2. Tengok  pulak  Rahsia  Ukhuwah  Kita, udah  nak  menangis  pula. Hehe.

Dalam  perjalanan  untuk  pulang  ke  rumah, hati  menjadi  sayu. Lagu  dipasang  dengan  handphone  dan  disambung  dengan  ear  phone. Lagu  yang  dipasang  hanya  didengar  kosong  di  telinga. Langsung  tak  membuatkan  hati  terhibur. Mata  tengok  kat  jalan, tapi  hati  melayang  entah  ke  mana. Hilang  terus  mood. Kalau  nak  pegi  hari  tu  dengar  aje  lagu, mulut  ni  henti2  dok  menyanyi. Nak  balik  ni  xde  pulak. Pastu  cepat  pulak  rasa  sampai  ke  rumah. Padahal  jalan  yang  sama. Hehe.

Apa-apapun, tahniah  diucapkan  kepada  Abdullah  Zahid  dan  semua  yang  terlibat  untuk  menjayakan  aktiviti  yang  sangat  bermanfaat  ni. Program  keagamaaan  seperti  ini  perlu  untuk  membentuk  diri  kita, kerana  kita  bukan  hendak  cemerlang  dalam  bidang  dunia  semata-mata. Malah, kesinambungan  ilmu  dunia  dan  akhirat  sangat  perlu  untuk  menjadikan  kita  ummah  yang  gemilang  di  atas  muka  bumi  ini. Teruskan  berjuang  di  jalan  Allah  yang  lurus. Bak  kata  Zahid, warga  emas  tu  anak2  muda  ni  lah. Kita  yang  akan  menerajui  kepimpinan  negara  pada  masa  hadapan. Tingkatkan  ilmu  di  dada  kita. In  shaa  Allah, pada  masa  akan  datang  tampuk  kepimpinan  negara  akan  disandang  oleh  mereka  yang  taat  pada Allah. In  Shaa  Allah.
                                
                  SALAM  RINDU  DARIPADA  SAYA  BUAT  SAHABAT.


Button  Moderator  KMPk, tetapi  saya  ni  bukanlah  moderator  pun. Tak  sehebat  mana. Hehe.
Baru  lepas  qiamullail, pengisian  daripada  Tuan  Pengarah.
Bersama  Ustaz  Zubaidi.
Mempengerusikan  tazkirah  Ustaz  Hafez  Sabri, pendakwah  bebas.





Gambar  Street  Dakwah  di  Medan  Gopeng, Alhamdulillah, sambutan  yang  baik  daripada  masyarakat.


Para  pejuang  agama  yang  bakal menerajui  Negara  suatu  hari  nanti, hehe.
Mujahidah  pembangkit  ummah.
Bergurau  senda  dengan  rakan-rakan  usai  solat  Isyak.
Ahli  kumpulan  saya  sibuk  menyiapkan  ‘Jambatan  Ilmu’. Hehe.
Hasil  gabungan  idea  yg  inovasi  muslimin  dan  muslimat.

Semua  peserta  tekun  mendengar  tazkirah  daripada  Ustaz  Ahmad.

“Aku  kasihi  sahabatku  dengan  segenap  jiwaku. Sahabat  yang  baik  adalah  seiring  denganku  dan  menjaga  nama  baikku  ketika  aku  hidup  atau  selepas  mati. Kuhulurkan  tangan  kepada  sahabatku  untuk  berkenalan  kerana  aku  akan  merasa  senang. Semakin  ramai  sahabat, semakin  aku  percaya  diri. Aku  selalu  berharap  mendapat  sahabat  sejati  yang  tidak  luntur  baiknya  dalam  suka  atau  duka. Jika  aku  dapat, aku  ingin  setia  padanya.” (Imam  Syafie)