Friday 17 May 2013

Trip Ke Cameron Highland..


my  classmate..cool  belaka.. (^_^) ada  lagi  yang  tak  ada  kat  situ..

Assalamualaikum. Apa  khabar  para  pembaca? Harapnya  semua  sihat-sihat  sahaja. Elleh, perasannya. Macam  laa  ada  orang  nak  baca  blog  dia. Hehe. Saja  aje, nak  meluahkan  sikit  kenangan  sewaktu  nak  pegi  field  trip  yang  menyeronokkan. Field  trip  ke  Cameron  Highland. Awalnya  nak  pegi  ke  Sitiawan, Perak  jugak. Tapi  tak  apalah, tak  ada  rezeki. Adalah  hikmahnya  tu.

Awal  pagi  sebelum  bertolak, pergi  ke  bilik  Arif. Awalnya  Arif  siap, pukul  6.30  dah  siap  pakai  kasut  nak  keluar. Huhu, semangat  betoi. Lebih  kurang  nak  dekat  pukul  7  tu, terus  la  ke  tempat  tunggu  bas  kat  depan   tu. Amboi, Khairi  siap  ambek  perempuan  lagi, jeles  betoi. Hehe.

Bila  sampai  sana, sembang-sembanglah  dengan  ahli  kelas, dengan  seronoknya. Nak  trip  lama  ni, 4  hari  tu. Hehe. Sampai  aje  bas, terus  naik, beg  baju  semua  dah  letak  kat  bonet  bas. Semua  pakat  baju  berlambak-lambak. Haha. Lama  menunggu, rupa-rupanya  tiada  pensyarah  pengiring. Terpaksalah  turun  bas. Lelaki  yang  duduk  luar  semua  dah  turun. Kami  yang  duduk  kolej  ni  malas  nak  turun. Malulah  nak  balik, barang  banyak  kot. Tiba-tiba  terdengar  suara,

“Pak  cik, jom  pegi  ke  bandar.” Kata  Hana.

Hahaha, pun  boleh. Jadilah, dapatlah  jugak  naik  bas  ke  bandar. Alhamdulillah, hasil  usaha  pelajar  lelaki, akhirnya  dapatlah  pergi  bersama  dengan  staf  ladang  iaitu  En.  Din. Syukur  beliau  memberikan  komitmen  untuk  pergi  sekali. Tidaklah  kempunan  kami. Hehe. Pukul  2  kami  bergerak  ke  Cameron  Highland.

Sampai  sahaja  ke  Cameron, semua  sibuk  mencari  tandas. Terbaik  arh  jalan  dengan  Arif  dan  KG. selamba  rock  aje  masuk  kedai  makan  tu. Orang  tu  siap  nak  ambek  order  dah. Hehe. Selesai  aje  kami, yang  lain  pun  nak  masuk  jugak. Tapi  mamak  tu  tak  bagi  sebab  nanti  rugilah  dia. Nak  pegi  tandas  aje. Kalau  nak  makan  situ  lain  ceritalaa. Hehe.

Sementara  menunggu  semua  siap  melepaskan  qada  masing-masing, kami  ni  berposing  dulu. Hehe. (gambar  saya  tak  ada, -_- )

saya  yang  tangkap  gambar, memang  tak  ada  laa.
Selesai  semua, pergilah  makan  pulak  and  seterusnya  berjalan-jalan. Huhu.




KG  bersama  air  teh  cameron..hehe..
Ni  tengah  perli  kat  siapa?
tak  paham  KG  buat  apa..hehe..

Malam  tu  nak  tidur, masya  Allah, sejuk  sangat. Untung  orang  Cameron, tak  payah  pakai  air  cond. Cadang  tidur  kat  ruang  tamu  aje, berlagak  la  kononnya  tak  payah  pakai  selimut. Last-last  terbangun  pukul  2  pagi. Memang  tak  mau  tidur  laa, dengan  sejuk  bapak  dia. Huhu. Masuk  la bilik. Aii, Kirin  tak  tidur  lain. Boleh  pulak  dia  main  dota. Hehe. Tak  apalah, main  aje  la. Asalkan  saya  dapat  tidur  diantara  Aiman  dan Mukhlis  bersama  toto tebal. Haa, nyenyak  tidur  sampai  ke  pukul  5.30. Alhamdulillah.

Pada  pagi  tu, dengan  tak  sengaja  terbukak  la  TV. Ada  pulak  rancangan  yang  disiarkan  di  Manjung, Perak. Tengok  ramai-ramai  laa, En.  Din  pown  tengok.

“Ok  laa. Jom  kita  pergi  ke  Perak.” kata  En.  Din.

“Yeyyy!!” ramai-ramai  kami  bersorak. Seronok  kot. Huhu.

Check   out  daripada  department, semua   pakat  nak  bergambar. ^_^





Seterusnya, kami  ke  MARDI  pula. Banyaknya  jenis  bunga. Yang  tak  pernah  nampak  pown  banyak. Tu  yang  bergambar  sokmo  dengan  bunga  tu. Hehe.


bahagian  dalam  pejabat  MARDI..

bergambar  beramai  lagi.. (^_^)


kat  jambatan..bawah  tu  ada  kura-kura  kat  atas  batu..haha..
jadi  mat  bunga  untuk  seketika.. (^_^)

perrgghhh...cool...

raplah  jingga...

Do Re Mi, 3  orang  sahabat..

berjalan  dengan  dua  wanita  ni..

tembam  laa  pian..

tangan  yang  dorang  buat  tu  diasaskan  oleh  pian..hehe..
muncung  Razzi..



bersama  dengan  pelajar  sekolah..makluman, aiman  bersama  adik..hehe..
menyampaikan  cederahati  ke  MARDI  tanda  kenang-kenangan..
Puas  ke  MARDI, pergilah  pulak  ke  KEA  Farm. Membeli-belah  depa  ni. Siap  ada  beli  topi  yang  berambut  tali  tu. Haha, pun  boleh. Akhirnya  lebih  kurang  pukul  3  or  4, kami  bergerak  pulak  ke  UiTM.

Walaupun  perjalanan  yang  tidak  berapa  lama, tetapi  ukhwah  fillah  itu  sudah  lama  tumbuh. Apa-apapun, enjoy  la  dengan  korang. Sayang  korang  kerana  Allah. (^_^)

Yeaahhh!! Ramadhan Dah Semakin Hampir~~



Ramadhan  dah  semakin  hampir, Ya  Allah. Seronoknya. Ahlan  wasahlan  ya  Ramadhan. Sekarang  baru  bulan  Rejab, lagi  2  bulan  nak sampai. Lambat  lagi  sebenarnya, tapi  bahangnya  sudah  semakin  terasa. Hehe. Apa  persiapan  kita  untuk  menghadapi  bulan  Ramadhan  yang  penuh  barakah  ni? Dah  ada  fikirkan? Haa, kalau  tak  ada, marilah  kita  merancangnya  untuk  kita  lakukan  di  bulan  Ramadhan  nanti. Moga-moga  kita  mendapat  mardhatillah, in shaa Allah. Kata  ulama’, amatlah  rugi  mereka  yang  keluar  daripada  bulan  Ramadhan  tetapi  tidak  mendapat  keampunan  Allah. Allahu  Akbar.

Sebelum  menjelangnya  bulan  Ramadhan, kita  kenalah  stretching  dulu. Kalau  terus  nak  lari  jauh  tapi  tak  buat  renggangan, sakit  jugak. Mau  tengah-tengah  jalan  kang  pancit. Haha. Macam  tu  jugak  dengan  puasa. Nabi  s.a.w  banyak  berpuasa  sunat  pada  bulan  Rejab, tapi  pada  bulan  Syaaban  lagi  banyak  Nabi  s.a.w  berpuasa. Sampai  Saidatina  Aisyah  pun  berpuasa  ganti  pada  bulan  Syaaban  tu, sebab  nak  ikut  Nabi  berpuasa  sekali. Jadi, bulan  Rejab  ni  kita  puasalah  hari  isnin  dan  khamis, bulan  Syaaban  tambah  lagi. Ini  cuma  cadangan  aje, tak  ada  paksaan. Hehe. Tapi  kalau  kamu  kuat  sangat, ikut  la  sebagaimana  puasa  Nabi  Daud, iaitu  Nabi  Daud  berpuasa  selang-seli. Maknanya  sebanyak  15  harilah. Jangan  lebih  daripada  itu  ye.


Jika  kita  soroti  sejarah  Rasulullah  s.a.w, Baginda  mengkhatamkan  Al-Quran  pada  bulan  Ramadhan  sebanyak  2  kali. Nabi  s.a.w  itu  maksum  syeikh, tetapi  2  kali  khatam. Hebatnya. Kita  yang  banyak  dosa  ni, mestilah  kena  banyak  membaca  Al-Quran. Targetkan  dalam  fikiran  kita  untuk  mengkhatamkan  Al-Quran  pada  bulan  Ramadhan  sekurang-kurangnya  sekali. Sehari  kita  baca  1  juzuk, susahkah? Baca  Al-Quran  selepas  solat  fardhu  sekurangnya  4  helai. 5  kali  solat  fardhu, maknanya  bolehlah  dapat  1  juzuk  sehari. Senang  tak? Kalau  nak  senang, kenalah  mujahadah  tinggi  sikit  barulah  boleh  khatam  sekali  Al-Quran  dalam  bulan  Ramadhan  itu. In  shaa  Allah, lemah  dan  tiada   dayaku  melainkan  atas  pertolongan-Mu  ya  Allah.


Takkan  baca  Al-Quran  aje, amalan  lain? Hehe. Ada  yang  istimewanya  bulan  Ramadhan  ni, iaitu  perkara  sunat  yang  tiada  dalam  bulan  lain  iaitu  solat  tarawikh. Mana  ada  solat  tarawikh  dalam  bulan  Rejab, ngarut  belaka  kalau  ada  orang  buat. Hehe. Rasulullah  s.a.w  solat  tarawikh  sebanyak  8  rakaat. Tapi  tengok  jugak  bacaan  Nabi  s.a.w  apa. 1  rakaat  baca  surah  Al-Baqarah. Ambek  kau, bolehkah  kita? Tak  apa, buat  ikut  kemampuan. Asalkan  ikhlas. Ada  sesetengah  tempat  buat  solat  tarawikh  sebanyak  20  rakaat. Ada  jugak  yang  kata  bida’ah. Aduhh, sakit  pulak  hati  kita. Yang  buat  solat  tarawikh  sebanyak  20  rakaat  ni  ialah  Saidina  Umar  Al-Khattab. Tak  ada  yang  salahnya  pun. Pegi  check  Hadis  40. Nabi  kat  peganglah  sunnahku  dan  sunnah  Khulafa’  Ar-Rasyidin, gigitlah  sunnah  ini. Lebih  kurang  macam  tu  la  bunyinya. Tak  mungkinlah  Nabi  s.a.w  suruh  kita  ikut  mereka  kalau  Nabi  s.a.w  belum  iktiraf  iman  mereka. In  shaa  Allah, perbanyakkan  solat  sunat  istimewa  yang  tiada  pada  bulan-bulan  lain  ni  yaa.

Seterusnya, cuba  penuhkan  solat  fardhu  kita  dengan  berjemaah  di  masjid/surau. Biasanya  yang  paling  liat  dan  payah  sikit  kita  nak  buat, waktu  solat  subuh. Nanti  lepas  sahur, janganlah  pulak  tidur. Teruslah  ke  masjid  dahulu. Lepas  tu  kalau  nak  tidur, tidurlah. Ehh, mana  boleh. Silap-silap. Kalau  nak  tidur, tidur  waktu  dhuha  ye. Lepas  subuh  tak  digalakkan  tidur  sebab  mewarisi  kepapaan. Lepas  asar  pun  sama, yang  tu  pulak  mewarisi  kefakiran  kalau  tak  silap  saya. Haaa, nak  ceritanya  solat  berjemaah  kat  masjid/surau  aje. Termelalut  pulak  sampai  ke  situ. Hehe.

Banyak  lagi  sebenarnya  amalan  yang  boleh  kita  lakukan. Yang  ni  saja-saja  saya  listkan, nak  bagitau. Sinonimnya  waktu  bulan  Ramadhan  kita  baca  Al-Quran, in  shaa  Allah  dalam  target. Tahun  lepas  tak  sempat  khatam, sedih!! In  shaa  Allah, dengan  bantuan  Allah  untuk  tahun  ni.

Mari  kita  perbanyakkan  amalan  kita  di  bulan  Ramadhan  nanti. Jangan  kedekut  nak  buat  kebaikan  sebab  Allah  tak  pernah  kedekut  dengan  kitapun. Sahabat-sahabat  radhiyallahu  ‘anhu  sangat-sangat  suka  bila  Ramadhan  tiba. Bila  Ramadhan  semakin  habis, mereka  mula  menangis. Harap  kitapun  sama  macam  mereka. Jangan  nak kira  Raya  aje. Hehe.


#ingatan  tulus  ikhlas  daripada  hamba  hina#





Sunday 21 April 2013

Hidayah Allah..~~ (^_^)


RUMAH  tersusun  Taman  Murni  itu  tampak  tenang  sekali  dengan  pemandangannya  yang  menyenangkan  jiwa. Siapa  tahu  di  kala  terlihat  tamannya  sahaja  yang  aman, tetapi  ada  juga  dikalangan  penghuninya  yang  masih  porak  peranda.
            
          “Jaafar, daripada  dulu  mak  pesan  jangan  buat  perangai  lagi. Sudah-sudahlah  buat  perangai  buruk  tu. Mak  tengok  kamu  tiap  hari  meneguk  air  syaitan  tu. Anak  dara  yang  kamu  kendong  sudah  tidak  terkira  banyaknya. Ubahlah  perangai  tu. Mak  malu  dengar  jiran  cakap  yang  bukan-bukan  pasal  kamu,” nasihat  Pn  Jasmin  kepada  anak  terunanya. Dia  sudah  tidak  tahan  mendengar  cacian  daripada  jiran-jiran  tentang  anaknya. Anaknya  yang  lain  berjaya  di  didik  sehingga  ke  menara  gading, cuma  yang  bongsu  ini  sedikit  bermasalah.
            
          “Mak  tak  penat  ke  membebel  setiap  hari? Biarlah  orang  nak  cakap  apa  pun. Bukannya  kita  kacau  mereka. Jaafar  sedikit  pun  tidak  minta  wang  daripada  mereka. Sibuk  sahaja  dengan  tepi  kain  orang. Mereka  tu  pun  belum  tentu  lagi  baik,” balas  Jaafar. Ini  bukan  kali  pertama  dia  mendengar  ibunya  membebel, tetapi  sudah  acap  kali. Sudah  tidak  terkira  banyaknya  ‘ceramah’  daripada  ibu. Satupun  tidak  menjengah  ke  dalam  mindanya.
            
          “Memanglah  kamu  tak  kacau  mereka, tapi  kamu  tau  la. Kamu  tu  muda  lagi. Jangan  kamu  rosakkan  masa  muda  kamu  tu. Mak  tak  nak  anak  mak  rosak  di  sebabkan  benda  kotor  yang  kamu  lakukan. Ibu  tak  sanggup  menanggung  dosa. Berhentilah  nak!” rayu  Pn  Jasmin.
            
          “Cukup  mak. Kalau  mak  sudah  tak  mampu  nak  jaga  Jaafar, tak  apa. Jaafar  pergi  sekarang!” Jaafar  laju  menuruni  anak  tangga  menuju  ke  motosikal  EX5  milik  arwah  ayahnya. Tetapi  yang  pasti  dia  sudah  tidak  tahan  mendengar  ibunya  asyik  membebel  setiap  hari. Lebih  baik  dia  pergi  jauh  berbekalkan  sedikit  wang  di  dalam  koceknya.
            
          “Jaafar! Jangan  pergi!” jerit  Pn  Jasmin  dengan  rintihnya. Namun  Jaafar  sedikitpun  tidak  menoleh  ke  belakang  memandang  dirinya. Tangannya  memegang  tiang  rumah  bagi  mengelakkan  dirinya  tersungkur. Air  mata  sudah  deras  mengalir  di  pipi. Dia  tidak  sangka  Jaafar  tergamak  melarikan  diri  sedangkan  dirinya  hanya  berkata  demi  kebaikan  anaknya. Akhirnya, Pn  Jasmin  terduduk  jua.
                                                
                                                      **************************

HARI  sudah  semakin  tua, menandakan  suasana  siang  hampir  melabuhkan  tirainya. Tinggal  hanya  beberapa  minit  lagi  waktu  solat  Maghrib  akan  berkunjung  tiba. Motosikal  yang  ditunggang  Jaafar  sudah  melepasi  4  kampung. Sesekali  matanya  membulat, giginya  berketar  kerana  teramat  marah  kepada  ibunya. Walaupun  matanya  fokus  memandang  jalan, tetapi  hatinya  sudah  menerewang  entah  ke  mana.
            
          ‘Aku  nak  tidur  mana  malam  ni? Ish, hari  dah  gelap. Tak  apalah, tidur  hotel  lagi  baik  daripada  balik  rumah  yang  dah  macam  neraka  tu.’ Jaafar  bermonolog.
            
          Dalam  pada  mindanya  lincah  berfikir  akan  hala  tujunya, tanpa  disedari  kereta  di  hadapannya  seperti  hilang  kawalan. Jaafar  panik  di  kala  kereta  itu  menuju  ke  arahnya. Mujur  Jaafar  dapat  mengelak  daripada  di  langgar  kereta  mabuk  itu, tetapi  nasib  malang  masih  berpihak  pada  dirinya. Motornya  sudah  bergerak  menghala  ke  pokok  kelapa  dan…
            
          BAAANNNNNGGGGGG!!!
                                                
                                                      **************************

MATA  Jaafar  terkebil-kebil. Melihat  sekelilingnya , kawasan  yang  tampak  sangat  memukau  jiwa. Dengan  susunan  meja, almari, sofa, teratur  sekali. Dimanakah  dia? Adakah  di  syurga? Tidak  mungkin! Kepalanya  terasa  berat  untuk  bangun  dan  mencucuk-cucuk  otaknya. Hatinya  tertanya-tanya  bagaimana  dia  boleh  berada  di  situ.
            
          Ketika  matanya  sedang  ralit  memerhatikan  sekeliling. Tiba-tiba datang  seorang  lelaki  berjubah  putih  dari  kejauhan. Hatinya  bergetar. Malaikatkah? Semakin  lama, tubuh  itu  semakin  datang  merapatinya. Wajah  bersih  itu  senyum  kepadanya. Allahu  Akbar, manisnya  wajah.
            
          “Alhamdulillah. Anak  sedar  juga  akhirnya. Tadi  pakcik  ternampak  anak  di  tepi  jalan. Motornya  pakcik  sudah  hantar  ke  bengkel. Mujurlah  anak  tidak  teruk  terlanggar  pokok  itu. Kalau  tidak, pakcik  nak  bawa  anak  ke  hospital  sahaja. tetapi  memandangkan  lukanya  hanya  sedikit, pakcik  bawa  sahaja  ke  rumah,” panjang  lebar  lelaki  itu  menjelaskan  kepada  Jaafar.
            
          “Pakcik  ini  siapa? Macam  mana  pakcik  boleh  bawa  saya  sampai  ke  sini?” Jaafar  mengajukan  soalan  atas  kekeliruan  dirinya.
            
          “Pakcik  imam  masjid  kampung  ini. Orang  di  sini  panggil  Ustaz  Solah. Tapi  anak  panggil  pakcik  saja  pun  tidak  mengapa. Kebetulan  selepas  usai  solat  Maghrib  tadi, pakcik  ternampak  anak  terkelimpang  di  tepi  jalan. Langsung  pakcik  bawa  ke  rumah. Mujurlah  luka  di  kepala  anak  sedikit  saja.” Tangannya  mengusap  kepala  Jaafar  dengan  lembut. Jaafar  mengaduh.
            
          “Anak  ini  siapa  namanya? Mahu  ke  mana  malam-malam  begini?” sambung  imam  itu  lagi.
            
          Jaafar  mengeluh  kecil.
            
          “Nama  saya  Jaafar. Saya  sebenarnya  hendak  pergi  jauh  dari  rumah,” Jaafar  menjawab  tunduk.
            
          Ustaz  Solah  terkesima. “Pergi  jauh  dari  rumah? Kenapa? Orang  di  rumah  Jaafar  ada  buat  perkara  yang  bukan-bukan  ke? Jaafar  ada  masalah  dengan  keluarga?” bertalu-talu  persoalan  daripada  Ustaz  Solah.
            
          “Saya  benci  sebab  mak  suka  membebel. Saya  rimas.” jawab  Jaafar  ringkas.
            
          Ustaz  Solah  mengerti  akan  naluri  anak  kontemparori  era  ini. Tidak  boleh  walau  sekelumit  pun  ditegur. Ustaz  Solah  mesti  bijak  memberi  hikmah  kepada  anak  muda  dihadapannya. Untuk  memberikan  nasihat  kepada  remaja  yang  sudah  semakin  meningkat  dewasa  ini, konsep  berkeras  sudah  tidak  sesuai  digunakan. Caranya  hanyalah  menjadikan  mereka  sahabat  dahulu, kemudian  baharulah  mudah  untuk  memberikan  tarbiyah  kepada  mereka  secara  perlahan-lahan.
            
          “Mengapa  mak  Jaafar  suka  membebel?” Ustaz  Solah  melabuhkan  punggungnya  di  sebelah  katil  yang  dibaringi  oleh  Jaafar. Cuba  mengorek  rahsia  anak  muda  itu. Wajahnya  dimaniskan  semanis-manisnya.
            
          Jaafar  masih  tunduk. “Sebab  apa  saja  yang  saya  buat, mesti  mak  akan  marah. Tak  adalah  yang  baik  pada  diri  saya  yang  mak  nampak, semua  keburukan  belaka. Saya  sudah  tidak  tahan  duduk  di  rumah.”
            
          “Yeke. Jaafar  buat  apa  sampai  mak  Jaafar  marah  Jaafar  setiap  hari?”
            
          Diam. Tiada  reaksi. Pada  waktu  itu, mendiamkan  diri  adalah  pilihan  Jaafar. Malu  pula  untuk  memberitahu  perkara  yang  sebenar  kepada  orang  yang  baru  dikenalinya  itu.
            
          Ustaz  Solah  mengesyaki  sesuatu  perkara  buruk  yang  telah  dilakukan  oleh  anak  muda  itu. Jika  tidak, masakan  dia  diam  seribu  bahasa. Ustaz  Solah  cuba  untuk  mengorek  rahsia  itu, moga  dapat  membantu  Jaafar  menemui  jalan  keluar  daripada  masalah  itu.
            
          Tangan  Ustaz  Solah  mengusap  lembut  belakang  Jaafar. Matanya  redup, senyuman  manis  disedekahkan.
            
          “Jaafar  ceritalah. Pakcik  sedia  mendengar, dan  pakcik  tidak  akan  salahkan  Jaafar  100%  atas  tindakan  Jaafar  ni.” sambung  Ustaz  Solah.
            
          “Saya  sebenarnya…err…saya  sebenarnya  peminum  minuman  keras. Err, dan  selalu  tukar…tukar  pasangan.” Terketar-ketar  Jaafar  menjawab. Kepala  tunduk, air  mata  sudah  merembes  keluar. Tubuh  badannya  statik  walaupun  tidak  henti-henti  diusap  oleh  Ustaz  Solah.
            
          Ustaz  Solah  mengangguk. Wajahnya  tenang, seperti  tidak  ada  apa-apa  yang  berlaku.
            
          “Kenapa  pakcik  tidak  terkejut? Saya  sudah  lakukan  dosa  besar  yang  mana  Allah  tak  akan  ampunkan  dosa  saya, dan  saya  tidak  layak  untuk  hidup  di  atas  muka  bumi  ini. Allah  laknat  pada  saya.”
            
          Ustaz  Solah  senyum. Nampak  gayanya  sinar  hidayah  boleh  menusuk  ke  dalam  jiwanya  bila-bila  masa  sahaja. Cuma  menunggu  hujah  daripada  dirinya  sebagai  perantara  hidayah  itu  hadir. Ustaz  Solah  menyusun  kata-kata.
            
          “Pakcik  tidak  salahkan  Jaafar. Mungkin  Jaafar  jadi  macam  ni  atas  faktor  persekitaran. Allah  itu  Maha  Pengampun, Jaafar. Biarlah  sebanyak  manapun  dosa  kita, kalau  kita  betul-betul  bertaubat  kepada  Allah, In  Shaa  Allah, Allah  ampunkan. Selagi  mana  nyawa  tak  sampai  di  halkum, maka  pintu  rahmat  Allah  sentiasa  luas  terbuka  untuk  menerima  taubat  hamba-Nya.
            
          Cuba  Jaafar  bayangkan  ketika  Jaafar  kemalangan  tadi, Jaafar  terus  meninggal  dunia  dalam  keadaan  Jaafar  belum  bertaubat  daripada  apa  yang  Jaafar  lakukan? Ketika  itu, Jaafar  tidak  sempat  bertaubat. Bayangkan  apa  kesudahan  hidup  Jaafar? Nabi  kata  sesiapa  yang  peminum  arak  tegar  dan  penderhaka  ibu  bapa, maka  haram  baginya  mencium  bau  syurga. Ya  Allah, bersyukurnya  Jaafar  masih  diberi  kesempatan  itu.” panjang  lebar  Ustaz  Solah  menasihati.
            
          Jaafar  tidak  dapat  menahan  air  matanya  daripada  terus  mengalir. Dibiarkan  sahaja  dirinya  merintih  di  sisi  Ustaz  Solah  tanpa  rasa  segan  dan  silu. Hatinya  lebih  memikirkan  dosa  yang  telah  dilakukannya  dulu.
            
          “Tak  mungkin  Allah  akan  terima  taubat  saya, dosa  saya  terlalu  banyak.”
            
          “In  Shaa  Allah, Allah  terima. Saidina  Umar  dahulu  sebelum  Islam  seorang  yang  kuat  menentang  Islam, malah  sangat  kuat  meminum  arak. Selepas  hidayah  Allah  menerjah  ke  dalam  jiwanya, Saidina  Umar  menjadi  orang  yang  sangat  hebat. Hasil  kepimpinan  beliau  sehingga  boleh  menguasai  kerajaan  Rom  dan  Parsi  yang  mana  pada  ketika  itu  satu  kerajaan  yang  tidak  mungkin  dijatuhkan  oleh  kerajaan-kerajaan  lain. Saidina  Umar  juga  dijanjikan  syurga  oleh  Rasulullah  s.a.w  hasil  daripada  usahanya  mencari  redha  Allah.
            
          Apalah  sangat  dosa  yang  Jaafar  lakukan. Dosa  yang  Jaafar  lakukan  kecil  sahaja  di  hadapan  Allah. Allah  sangat  suka  kepada  hamba-Nya  yang  bertaubat  setelah  melakukan  dosa  kepada-Nya. Beruntung  kita  menjadi  umat  Rasulullah  s.a.w, senang  sahaja  bertaubat  kepada  Allah. Cuba  bayangkan  Jaafar  umat  Nabi  Musa  a.s, sudah  semestinya  Jaafar  terpaksa  membunuh  diri  hanya  semata-mata  untuk  bertaubat  kepada  Allah. Inilah  keistimewaan  kita, umat  Rasulullah  s.a.w. Cuma  perlu  bertaubat  dengan  bersungguh-sungguh, In  Shaa  Allah, Allah  akan  mendepangkan  tangan-Nya  untuk  menerima  kita  kembali  kepada-Nya.” hujah  Ustaz  Solah  bagai  seorang  pendebat  di  medan  persidangan. Disamping  memberikan  hikmah, diselitkan  juga  kita  umat  terdahulu  yang  sangat  hebat  akidahnya  dan  menamatkan  hidup  mereka  dengan  jayanya. Hebat  sekali  tarbiyah  Rasulullah  s.a.w.
            
          “ALLAHU  AKBAR.” Jaafar  meraung. Hujah  Ustaz  Solah  sangat-sangat  tepat.
            
          Ustaz  Solah  memeluk  erat  Jaafar, Jaafar  membalas  pelukan  itu. Ibarat  seorang  bapa  memeluk  seorang  anak. Jaafar  mengongoi  di  bahu  Ustaz  Solah. Mata  Ustaz  Solah  juga  turut  berair.
            
          “Pakcik, boleh  ajarkan  saya  cara  untuk  saya  bertaubat?” ujar  Jaafar  selepas  tangisnya  reda.
            
          “Masya  Allah, masakan  tidak. Jika  lebih  daripada  itupun  pakcik  sanggup  ajarkan, anakku.” Ustaz  Solah  mengesat  sisa  air  matanya  dengan  belakang  jari  telunjuknya.
            
          Ustaz  Solah  memimpin  Jaafar  untuk  mengambil  wudhuk  dan  mengajarkan  kaifiat  solat  taubat. Jaafar  menuruti  dan  merintih  di  tikar  sejadah  dengan  selebat-lebat  air  mata. Ustaz  Solah  memerhati  dengan  mata  bersinar-sinar.
            
          Usai  Jaafar  bersolat, Jaafar  mencium  tangan  Ustaz  Solah. Ustaz  Solah  merenung  mata  Jaafar.
            
          “Anak, jom  bawakan  pakcik  berjumpa  dengan  mak  Jaafar. Pakcik  teringin  hendak  berjumpa  dengannya.”
            
          Jaafar  diam  mengunci  kata-kata.
                                                
                                                      **************************

PN.  JASMIN  masih  tidak  dapat  melelapkan  mata. Hatinya  masih  terkenang  akan  Jaafar. Di  mana  agaknya  dia  tidur  malam  ini? Hatinya  sebak  apabila  memikirkan  anak  bongsunya. Kilang  air  matanya  sudah  lelah  memproses  dan  mengeluarkan  cecairnya  lagi. Fikirannya  sesak  ketika  itu.
            
          ‘Ya  Allah, Kau  selamatkanlah  anakku. Bukalah  pintu  hatinya  untuk  kembali  ke  pangkuanku. Hanya  kepada-Mu  aku  berserah, ya  Allah.’ Doa  Pn.  Jasmin  di  dalam  sanubari.
            
          POONNN, POONNN.
            
          Silau  dari  cermin  tingkap  hadapan  rumahnya  bersinar. Pn.  Jasmin  membuka  sedikit  jendela  untuk  melihat  gerangannya. Terlihat  kereta  mewah  Marcedes  Benz  di  parkir  cantik  di  tengah  halaman. Dalam  keadaan  fikiran  ralit  memikirkan  gerangan  empunya  kereta, tiba-tiba  terjengul  keluar  Jaafar  daripada  perut  kereta  itu  berlari  ke  pintu  utama  rumah.
            
          “Maakkk, buka  pinta. Jaafar  minta  maaf  pada  mak. Ampunkan  Jaafar.” Jaafar  merengek  seperti  anak  kecil.
            
          Pn.  Jasmin  laju  membuka  pintu. Jaafar  tidak  menunggu  lama, terus  tubuh  tua  Pn  Jasmin  di  peluk  erat.
            
          “Maafkan  Jaafar  mak, maafkan  Jaafar.”
            
          “Tak  apa, mak  maafkan.”
            
          Tidak  berapa  lama  kemudian, muncul  seorang  lelaki  tua  terkemudiannya. Pn.  Jasmin  dapat  mengesyaki  perubahan  anaknya  mesti  berkait  dengan  lelaki  tua  berwajah  manis  di  hadapannya.
            
          Selepas  Jaafar  puas  memeluk  erat  ibunya, dia  terus  ke  bilik.
            
          “Encik, apa  yang  telah  terjadi  pada  anak  saya?” aju  Pn.  Jasmin  tidak  menunggu  lama.
            
          Ustaz  Solah  menceritakan  daripada  awal  sehingga  akhir  perubahan  mendadak  Jaafar.
            
          “Alhamdulillah. Terima  ya  Allah  kerana  telah  memulangkan  anak  aku  dalam  keadaan  yang  baik. Malah  aku  bersyukur  kerana  hidayah  Kau  telah  masuk  ke  jiwa  anakku.” kuat  Pn.  Jasmin  berdoa. Terus  dirinya  tunduk  rebah  menyelesaikan  sujud  syukur.
            
          Ustaz  Solah  tersenyum. Dia  juga  bersyukur  kepada  Allah  kerana  menjadikan  dirinya  sebagai  perantaraan  hidayah  Allah  kepada  Jaafar.
            
          ‘Alhamdulillah, moga  kau  terus  istiqamah  dalam  taubatmu, anakku.’ Monolog  Ustaz  Solah  bersama  senyuman.
                                                
                                                      ***TAMAT***


(Hamba  Allah : Haffiz  Yusuf  Production) hehehe..