Nabi Ayub Di Uji Penyakit Kulit.
NABI Ayub, anak Nabi Ishak dilimpahi kekayaan harta benda, malah
mempunyai banyak binatang ternakan seperti lembu, kambing, kuda, kaldai dan
unta. Kekayaan itu membuatkan kehidupannya senang. Beliau juga mempunyai
keturunan yang besar kerana ramai anak, baik lelaki mahu pun perempuan. Seorang
daripada anaknya menjadi nabi, iaitu Basyar.
Walaupun kaya dan mempunyai segala kemewahan, Nabi Ayub tidak
lupa membuat kebajikan kepada golongan fakir, miskin dan anak yatim. Beliau
tidak sombong, malah tetamu yang mengunjungi rumahnya disambut dengan baik. Harta dan keturunan
yang besar tidak sedikit pun menjadikannya bongkak dan hamba kepada kekayaan.
Sebaliknya, dengan kekayaan itu keimanan dan ketakwaannya kepada Allah semakin
luhur.
Melihatkan keadaan Nabi Ayub itu, iblis berusaha menggunakan
segala tipu helah untuk menggugat keimanannya. Justeru Nabi Ayub diuji dengan pelbagai
cubaan. Pertama diuji melalui kekayaan dan harta bendanya. Kemewahan dengan
kekayaan yang dinikmati, semakin hari menjadi susut dan seterusnya semua
kekayaan itu habis. Nabi Ayub akhirnya menjadi miskin dalam sekelip mata. Walaupun
menghadapi ujian getir itu keimanan kepada Allah tidak langsung terjejas.
Beliau sabar menghadapi dugaan dengan hatinya tidak ketinggalan mengingati
Allah. Pendirian Nabi Ayub
ternyata tidak mudah diubah. Justeru, diuji sekali lagi dengan kematian
anaknya, namun beliau masih bersabar dan pada masa sama memupuk ketakwaan pada
Allah.
Mengenai pelbagai ujian itu, Allah berfirman, maksudnya: “Dan
sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita
gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka
mengucapkan, ‘sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali’.
Nabi Ayub memang tetap dengan pendiriannya, tidak tewas dengan
tipu helah iblis. Selepas itu, Nabi Ayub diserang penyakit kulit yang luar
biasa. Beliau menderita kerana penyakit itu selama tujuh tahun. Walaupun begitu lama
menanggung sengsara penyakit itu, beliau tidak pernah gelisah. Beliau tabah
menghadapi dugaan. Walaupun badannya semakin kurus, hingga menakutkan mata memandang,
beliau masih mampu mengingati Allah. Disebabkan penyakit Nabi Ayub itu sungguh
dahsyat tiada orang sanggup melihatnya, melainkan isterinya yang sabar menemani
dan merawatnya. Iblis tidak senang apabila menyaksikan kesabaran dan kesetiaan
isteri Nabi Ayub. Isterinya digoda supaya tidak melayaninya lagi. Tipu daya iblis
itu sebenarnya diketahui Nabi Ayub dari awal lagi lalu diberitahu kepada isterinya.
Nabi Ayub berkata kepada isterinya: “Jika aku sembuh, engkau
pasti aku pukul 100 kali.” Kemudian Nabi Ayub berdoa kepada Allah seperti
digambarkan melalui al-Quran: “Ingatlah ketika Ayub menyeru kepada Tuhannya: Ya
Tuhanku! Aku mendapat penyakit dan cubaan daripada syaitan.”
Doa Nabi Ayub dimakbul Allah dan penyakit yang dideritainya
selama tujuh tahun sembuh. Dalam al-Quran diceritakan: “Cecah kakimu, inilah
air yang sejuk untuk mandi dan minum. Dan Kami anugerahkan dia dengan
mengumpulkan kembali keluarganya dan Kami tambahkan kepada mereka sebanyak
mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pengajaran bagi orang yang mempunyai
fikiran.”
Mengenai nazarnya, Nabi Ayub mengingatkan isterinya yang
terpedaya dengan iblis bahawa beliau akan memukul isterinya itu 100 kali jika
beliau sembuh. Justeru, apabila benar-benar sembuh dan sihat, Nabi Ayub
bertekad untuk melaksanakan nazar itu.
Allah menurunkan wahyu
kepada Nabi Ayub mengenai cara melakukan nazar itu. Firman Allah, bermaksud:
“Dan ambillah dengan tanganmu seikat rumput (100 batang), lalu pukullah dengan
itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang
yang sabar, dialah sebaik hamba kerana dia sesungguhnya amat taat kepada
Tuhannya.”
Nabi Ayub menggunakan rumput yang diikat itu untuk memukul
isterinya dengan sekali libasan. Walaupun sekali pukulan, ia dikira 100 kali kerana
rumput yang diikat itu mengandungi 100 helai daun.
copy paste aje tu..huhu~
ReplyDelete